Berita
Transformasi Jiwa, Pemulihan Kehidupan Melalui Terapi Psikospiritual Islam
MASJID PEKAN, SEPANG, SELANGOR, 12 OGOS 2026 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Bagi Klien Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Selangor Siri 5/2026 bertempat di Masjid Pekan Sepang, pada Rabu, 12 Ogos 2026.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ustaz Mohd Nazri bin Sobirin, Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dan disertai seramai 55 orang peserta.
Pengisian program telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Mustafidurrahman bin Mohd Syahroni yang merupakan fasilitator KSK Care Centre yang juga Imam Masjid Putra, Putrajaya. Antara pengisian utama ialah sesi Tahsin dan Ibadah yang merangkumi teori dan praktikal wuduk, tahsin Surah al-Fatihah, solat sunat dhuha, solat sunat taubat serta terapi zikir dan ma'rifatun nafs. Program ini turut mendapat sokongan dari MAIS melalui sumbangan Dapur Fidyah kepada peserta yang hadir pada program ini.
Penganjuran program ini merupakan antara usaha berterusan JAKIM dalam memperkukuh pendekatan psikospiritual Islam sebagai salah satu elemen sokongan kepada proses pemulihan klien AADK. Pendekatan yang mengintegrasikan penghayatan ilmu, amalan ibadah dan pengukuhan rohani ini diharap dapat membantu peserta membina kekuatan dalaman, mempertingkat kesedaran diri serta membentuk kehidupan yang lebih positif dan sejahtera.
Kerjasama strategik antara JAKIM, AADK Negeri Selangor, MAIS dan JAIS turut mencerminkan komitmen bersepadu agensi-agensi berkaitan dalam memperkasa usaha pemulihan dan pembangunan sahsiah klien melalui pendekatan yang holistik dan berteraskan nilai-nilai Islam.
Semoga program seumpama ini terus menjadi wadah dalam menyantuni dan membimbing peserta ke arah perubahan diri yang lebih baik serta memperkukuh kesejahteraan spiritual, mental dan sosial dalam kehidupan.







Hubungi Kami
Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya,
No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman,
Presint 3, 62100 Putrajaya,
Malaysia.
+603 8870 7000
+603 8870 7003
Kemaskini Terkini
- Isnin, 28 September 2026
Statistik Pelawat
- Today 49
- Yesterday 26
- This Week 49
- This Month 349
- This Year 387