Berita
Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 Perkasa Kepimpinan Lelaki, Bina Keluarga Sejahtera
Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
TEMERLOH, 20 Ogos 2026 - Menjadi lelaki qawwam bukan sekadar tentang kekuatan fizikal, tetapi tentang keteguhan memikul amanah; bukan sekadar tentang memimpin, tetapi tentang membimbing; bukan sekadar tentang mencari nafkah, tetapi tentang memastikan keluarga terus berada di bawah perhatian dan perlindungan penuh kasih dan iman. Berteraskan matlamat tersebut, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM dan Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) telah menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Negeri Pahang 2026 di Grand Astana 2 Event Hall, Temerloh, Pahang Darul Makmur dengan kehadiran 200 peserta lelaki.
Dua slot utama telah disampaikan dengan pendekatan yang dekat dengan realiti kehidupan lelaki masa kini. Slot pertama, “Kepimpinan Lelaki Melalui Lensa Al-Quran” disampaikan oleh Ustaz Mohamad Nadzri Mustakim, Penolong Pengarah Kanan, Masjid Negara, yang mengupas mengenai tarbiyah pembinaan karakter dan jiwa rajul qawwam melalui tadabbur ayat 1 hingga 10 surah An-Nisa’.
Sementara itu, slot kedua bertajuk “Kesihatan Lelaki: Realiti dan Solusi” disampaikan oleh Prof. Adj. Dr. Ahmad Samhan Awang, Pakar Kesihatan Lelaki HIM Wellness, yang memberikan pendedahan mengenai aspek kesihatan lelaki serta langkah-langkah praktikal penjagaan kesejahteraan fizikal dan mental agar lelaki kekal berdaya dalam melaksanakan amanah kehidupan.
Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Marzuki Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM. Turut hadir YH Dato' Haji Abdul Zaki Md Zain, Timbalan Pengarah, JAIP; Tuan Haji Abdul Aziz Abdul Karim, Qadhi Daerah Temerloh; Tuan Mohd Rasmawi Harun, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, JAIP; serta Puan Hazizah Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM.
Penganjuran Seminar Lelaki Qawwam ini mencerminkan komitmen berterusan JAKIM dan JAIP dalam usaha pemberdayaan peranan lelaki sebagai tonggak keluarga dan pembina masyarakat. Semoga ilmu dan perkongsian yang disemai melalui seminar ini menjadi titik tolak kepada lahirnya lebih ramai lelaki yang memimpin dengan hikmah, melindungi dengan rahmah dan menunaikan amanah, demi membina keluarga yang sejahtera dan generasi yang unggul.
Hubungi Kami
Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya,
No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman,
Presint 3, 62100 Putrajaya,
Malaysia.
+603 8870 7000
+603 8870 7003
Kemaskini Terkini
- Isnin, 28 September 2026
Statistik Pelawat
- Today 19
- Yesterday 26
- This Week 19
- This Month 319
- This Year 357