Kenyataan Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berkenaan Pelaksanaan Solat Hajat Khas Di Tiga Buah Masjid Seliaan JAKIM
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
PELAKSANAAN SOLAT HAJAT KHAS DI TIGA BUAH MASJID SELIAAN JAKIM
Bil. 53/2025
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil maklum dan menzahirkan komitmen penuh terhadap arahan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk melaksanakan Solat Hajat Khas di ketiga-tiga buah masjid utama di bawah seliaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di W.P. Putrajaya pada esok hari, sejurus selepas Solat Jumaat.
2. Solat Hajat Khas ini diadakan bagi memohon perlindungan Allah SWT agar negara dan rakyat Malaysia dijauhkan daripada segala bentuk bencana, khususnya musibah banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini, serta diberi kekuatan dalam menghadapi apa jua ujian.
3. JAKIM menyeru seluruh masyarakat Islam untuk bersama-sama memanjatkan doa agar mangsa banjir dan para petugas penyelamat sentiasa berada dalam lindungan-Nya, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ketabahan dan kekuatan berpanjangan.
4. Semoga dengan kesatuan doa, munajat dan ikhtiar yang dilaksanakan ini, Allah SWT mengangkat segala kesulitan, mengurniakan rahmat serta memelihara Malaysia daripada sebarang bentuk musibah.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA 27 NOVEMBER 2025M / 6 JAMADILAKHIR 1447H
Hubungi Kami
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya, No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.